Aspek Tatabahasa Wacana

Konsep Wacana
Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris ayat  yang lengkap.  Jadi, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007), wacana bermaksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta percakapan. Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat.  Sementara itu, Menurut Asmah haji Omar (1980),  wacana adalah sebagai unit bahasa yang melebihi batas ayat. Dengan itu, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat,ceraian, bab, buku, siri dan sebagainya. Ia juga memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan. Wacana merupakan sebuah konsep yang meliputi semua aspek komunikasi manusia. Hal ini membuktikan bahawa, wacana bukan sahaja merupakan sebuah kemunikasi bertulis yang melibatkan antara penulis dan pembaca, malah turut melibatkan komunikasi lisan antara penutur dan pendengar.
Wacana berasal daripada perkataan Jawa iaitu ‘wocono’ atau ‘woco’ yang membawa maksud baca. Wacana terbahagi kepada  dua jenis wacana di dalam unit bahasa iaitu wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan dihasilkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti temu bual, ceramah, forum, syarahan dan sebagainya. Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Manakala wacana tulisan pula berkisar kepada tulisan dan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.

Kohesi (Tautan) dan Koheren (Runtutan)
Kohesi atau tautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana bagi menghasilkan wacana yang lengkap.  Menurut Sanad Md. Nasir, tautan adalah keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur linguistik  yang lain dalam sesebuah wacana. Keserasian ditinjau daripada hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan sesuatu perkataan dalam wacana tersebut. Menurut Alwi et.al.  pula (dalam Hartono, 2000: 144) kohesi tidak harus selalu dicapai dengan bantuan kohesi tetapi kohesi merupakan pendukung terjadinya koherensi. Tautan adalah pertautan  makna, sedangkan koherensi adalah keruntutan makna.
            Tautan menurut Model Tautan Pindaan terbahagi kepada tiga jenis tautan yang utama iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat. Permbahagian ini dikelaskan berdasarkan ciri bentuk, fungsi, makna dan konteks :
        i.            Tautan Perulangan
Tautan perulangan menunjukkan ciri, sama ada bentuk unsur linguistik yang berulang, atau dari segi makna unsur itu yang berulang, atau kedua-duanya sekali. Tautan perulangan ini terbahagi pula kepada tujuh jenis iaitu tautan perulangan rujukan, tautan perulangan penggantian, tautan perulangan elipsis, tautan perulangan leksikal, tautan perulangan parafrasa, tautan perulangan paralelisme serta tautan perulangan struktur dan makna sama.
      ii.            Tautan Kolokasi
Tautan kolokasi dijeniskan lagi kepada empat jenis iaitu tautan kolokasi antoniman, tautan kolokasi kohiponiman, tautan kolokasi hasil dan tautan kolokasi sifat.
    iii.            Tautan Penghubung Ayat
Tautan yang dilakukan dengan melihat fungsi unsur linguistik itu. Tautan penghubung ayat ini berfungsi menghubungkan antara unsur linguistik iaitu unit teks sebelum dengan yang selepasnya. Tautan penghubung ayat dapat dibahagikan kepada lima jenis iaitu penghubung ayat tambahan, penghubung ayat pertentangan, penghubung ayat sebab-musabab, penghubung ayat masa atau waktu dan penghubung ayat terusan.

Koheran atau gugusan  pula merupakan pengantara gagasan idea. Gagasan adalah cerita yang dijalinkan untuk membentuk teks dan akhirnya akan membentuk makna dalam diri pendengar, pembaca mahupun penonton yang lebih dikenali sebagai penerima. Menurut Pranowo (dalam Purwati, 2003:21), koheren adalah cara komponen-komponen wacana yang berupa konfigurasi konsep dan hubungan menjadi releven dan saling mengikat. Koherensi merupakan hubungan timbal balik yang baik dan jelas antara unsur-unsur yang membentuk sebuah kalimat, bagaimana hubungan antara subjek dan predikat, hubungan antara predikat dan juga objek.
Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid Md Idris (2004) menyatakan struktur tema sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat. Klausa dalam struktur tema terbahagi kepada tema dan rema. Tema boleh difahami sebagi fokus utama penceritaan. Selain itu, tema dapat difahami sebagai subjek yang diterangkan sedangkan rema adalah predikat yang menerangkan subjek. Hal ini boleh difahami melalui contoh yang berikut:
i. Adik pernah memberitahu seorang rakannya akan dibedah di hospital ini akibat kerosakan buah pinggang.
Ayat di atas menunjukkan penggunaan tema dan rema. Tema dapat dilihat melalui  perkataan ‘Adik pernah memberitahu’ kerana berfungsi sebagai subjek yang diterangkan sedangkan ‘seorang rakannya akan dibedah di hospital ini akibat kerosakan buah pinggang’  pula merupakan rema kerana berfungsi menerangkan predikat.
Kajian terhadap runtutan dapat dikaji berdasarkan 4 tahap, iaitu:
i)                    Tahap tujuan
Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau penuturnya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.
ii)                  Tahap Penerimaan
Sesuatu wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.
iii)                Tahap Maklumat
Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
Contohnya:
a)      Dr. Afifah merupakan seorang pensyarah di salah sebuah universiti di Malaysia.
b)      Universiti tempat beliau bekerja banyak melahirkan pendidik yang berjaya.

Universiti dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Banyak melahirkan pendidik yang berjaya ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.


  iv.           Tahap Keadaan
Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.






       Rujukan 
         Mohd Rashid Md Idris et.al (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim, Perak : 
                    Emeritus Publications.
         http://bml3092-analisiswacana.blogspot.my/p/aspek-analisis-wacana.html


No comments:

Post a Comment